Friday 27 April 2012

CATATAN KENANGAN

        Terlalu lama rasanya tidak menjenguk blog ini, pelbagai peritiwa berlaku yang sedih, gembira yang pahit dan yang manis. Kesibukan kerja dan menguruskan hal-hal dunia membuatkan kita terleka dan peristiwa demi peristiwa berlalu begitu sahaja. Namun banyak juga peristiwa yang kekal abadi dalam ingatan buat selama-lamanya. Peristiwa 7hb Mac merupakan satu peristiwa yang tak mungkin dilupakan dalam keluarga kecil kami ini. Walau masa berlalu, walau tiada catatan yang terpahat namun ingatan pada Allahyarham anakanda Harith Hazizi yang kembali menghadap Allah yang maha esa seminggu sebelum tarikh harijadinya yang ke 10 akan tetap kekal dalam ingatan kami.Hampir kesemua kami tidak menyangka akan kehilangan beliau dengan begitu cepat. Tidak sampai 2 hari berada di hospital, pembedahan yang dijalankan gagal dan kami kehilangan anakanda kami yang dikasihi. Seorang anak lelaki yang terlalu baik, tidak banyak cakap dan kerenah, rasanya tidak pernah menyusahkan sesiapa pun ketika hayatnya. Mungkin inilah gambaran terbaik insan-insan yang dikasihi Allah. 

          Walaupun hari ini kami telah meredakan kepergiannya namun kesedihan tetap terasa setiap kali namanya disebut dan gambarnya ditatap. Kesayuan pada renungan matanya seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepada kami semua. Pengajarannya, sekiranya anak-anak kita menghidap deman yang berlarutan tindakan segera perlulah diambil kerana biasanya ini bukan penyakit biasa. Jangkitan kuman apabila telah merebak ke otak atau organ-organ lain memang sukar untuk dipulihkan. Namun kekuasaan Allah adalah segala-galanya. Dalam keadaan ini jangan sekali-kali memikirkan wang ringgit kerana kesihatan adalah segala-galanya. 

        Kami sedar kepiluan kami kehilangan anak saudara tidak seberat kepiluan yang ditanggung seorang ibu yang kehilangan cahayamata tunggal lelakinya. Cabaran yang dipikul adinda kami terlalu berat untuk ditanggung oleh insan bernama perempuan, namun itulah ketentuan Tuhan. Sesungguhnya Allah menguji hambanya yang mampu,,,itulah nasihat yang mampu kami berikan. Kami selalu berdoa agar adinda kami tetap tabah menghadapi dugaan ini dan meredai kehilangan ini kerana anakandanya akan menunggunya di syurga kelak. 

       Catatan diblog ini adalah satu kenangan yang ingin dikongsi bersama dengan rakan-rakan dan taulan. Walau ingin menulisnya lama dahulu namun tidak mampu lantaran kesedihan apabila mengenangkan beliau. Doakanlah kami agar tabah menjalani kehidupan dan anakanda kami ditempatkan di syurga jannah.