Sunday 29 September 2013

DEMAM PEPERIKSAAN

Deman peperiksaan muncul kembali...seperti biasa semakin hampir ke penghujung tahun musim peperiksaan bakal menjelma. Peperiksaan UPSR sudahpun berakhir 2 minggu yang lepas..menyusul pula minggu ini dengan peperiksaan PMR bakal diikuti dengan peperiksaan SPM dan STPM.

Sebagaimana biasa pabila tarikh peperiksaan ini semakin hampir maka demam peperiksaan pun bermula. Senario murid-murid membawa buku ke sana sini mulai kelihatan dengan muka-muka yang keletihan akibat mengulangkaji sehingga larut malam. Kelas tambahan oleh guru-guru diadakan tanpa henti mewujudkan suasana pembelajaran tanpa henti hampir di semua sekolah.

Hanya doa yang mengiringi murid-murid ini ke dewan peperiksaan agar mereka memperoleh kejayaan yang diharapkan oleh semua pihak..selamat berjaya

Sunday 21 April 2013

Apakah kita Pemimpin yang baik

Ramai orang mahu jadi pemimpin samada diperingkat bawahan mahupun pemimpin peringkat atasan. Persoalanya adakah kita boleh memimpin. Banyak teori kepimpinan dikemukakan oleh pemikir-pemikir terdahulu mahupun masa sekarang. Ada mengatakan kepimpinan sesuatu yang diwarisi buktinya ramai anak-anak pemimpin menjadi pemimpin sebagai bapa mereka. Dato' Seri Najib mewarisi kepimpinan bapanya Tun Abdul Razak, Datuk Hishamuddin mewarisi kepimpinan Tun Hussein Onn dan ramai lagi tokoh seperti ini. Ada juga teori mengatakan kepimpinan dilahirkan melalui pendidikan atau persekitaran. Walau apa pun teori yang dikemukakan tidaklah begitu penting berbanding dengan keupayaan pemimpin itu sendiri.

Sebenarnya bukan mudah untuk memimpin. Ia memerlukan ilmu yang banyak, pengalaman, kematangan, kesabaran dan personaliti yang menarik. Ini kerana pemimpin perlu mempengaruhi orang untuk melakukan keinginannya. Pengurus mungkin boleh meminta orang melaksanakan kerja dengan punca kuasa yang ada namun untuk meminta orang bawahan melakukan tugas dengan baik dan bersemangat perlu ada kepimpinan. Menjadi pemimpin yang baik tidak boleh bergantung pada punca kuasa semata-mata tetapi perlukan karisma yang tersendiri.

Dua minggu yang lalu saya telah menerima 2 orang peserta kursus NPQEL (Kursus pra syarat menjadi pengetua yang dianjurkan oleh IAB) yang terdiri dari GPK Pentadbiran dari sekolah yang berhampiran. Secara jujur saya agak keberatan menerima mereka menjadi mentee kerana merasa tempoh selama 4 tahun menjadi pengetua terasa macam baru sangat untuk membimbing mereka berdua ini. Namun atas dasar ingin melihat mereka menjadi pemimpin yang baik dan ingin berkongsi pengetahuan saya reda. Tidak ada apa yang menarik dalam kepimpinan saya sekadar menjalankan tugas yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh. Tetapi saya amat tertarik dengan ungkapan yang salah seorang dari mereka berikan iaitu kepimpinan seseorang tidak boleh dinilai oleh orang itu sendiri namun terlihat oleh orang lain. Jadi bolehkah kita katakan yang kita tidak boleh mengaku menjadi pemimpin yang baik kecuali ada orang yang memberi pengiktirafan itu.

Dalam perbincangan dengan kedua mereka kami sependapat bahawa kepimpinan ini satu skil yang mungkin boleh dipelajari tetapi lebih banyak kepada anugerah yang diberi. Oleh yang demikian sebenarnya tidak semua orang boleh jadi pemimpin walaupun mereka mahu. Alasannya kepimpinan ini adalah satu seni yang agak sukar dipelari mahupun ditiru ataupun dibuat-buat. Memetik kata-kata Puan Hajah Zakiah Hj Awang mantan Pengetua Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong (Pengetua yang membawa sekolah itu menjadi Sekolah Kluster 2013- selepas beliau bersara) dalam sejarah perkhidmatannya sebagai pengetua beliau hanya menemui dua orang pegawai bawahannya yang mempunyai bakat kepimpinan (siapa...tanyalah beliau sendiri).

Konklusinya; Ramai orang mahu jadi pemimpin tetapi tidak ramai yang boleh meminpin. Kita tidak boleh mengaku menjadi pemimpin yang baik kecuali orang lain berkata demikian. Akhirnya, kepimpinan adalah satu seni yang boleh dipelajari namun perlu ada bakat semulajadi. Oleh yang demikian sempena PRU13 ini pilihlah pemimpin yang kita rasa baik bukan atas dasar mereka mahu jadi pemimpin kita dengan menjanjikan bulan dan bintang tetapi sebenarnya semata-mata angan-angan kosong sahaja. Lihatlah sejarah mereka semasa menjadi pemimpin dahulu apa yang telah mereka lakukan ketika itu. Ini sekadar pandangan peribadi saya sahaja.

Sunday 31 March 2013

Assalamualaikum,
Debaran terakhir bagi keputusan peperiksaan awam 2012 sudah pun diketahui. Ada yang gembira ada juga yang berduka. Bagi SMK Seri Bentong akhirnya kami beroleh kejayaan. Selepas dikritik hebat akibat penurunan 0.01 dalam UPSR (dari GPS 1.25 kepada 1.26) kami berjaya mencipta rekod pencapaian terbaik sekolah selama 15 tahun mengambil SPM. Pencapaian GPS 2.98 sedikit tersasar dari target awal iaitu 2.92. Walau bagaimanapun kami berjaya melepasi GPS 3 yang sebelum ini gagal dicapai. Dengan seramai 5 orang pelajar berjaya mendapat semua A dalam subjek yang diambil kami menduduki rangking teratas daerah. Rangking negeri juga meningkat dengan ketara dengan berjaya mengatasi sekolah-sekolah hebat yang lain termasuk beberapa sekolah kluster. Guru-guru sangat gembira dengan kejayaan ini dan diharap dapat mengekalkannya pada tahun 2013. Walaupun mungkin ramai pelajar tidak berpuas hati dengan tindakan saya bersikap tegas dalam mengekalkan disiplin di asrama mahupun sekolah namun saya percaya disiplin yang baik dapat mendorong kepada pencapaian akademik yang baik juga. Sebagai buktinya saya dapati pelajar-pelajar yang tidak ada masalah disiplin berjaya mendapat keputusan yang baik dalam SPM mahupun PMR. Pelajar yang mempunyai masalah disiplin mendapat pencapaian yang rendah dan menduduki rangking bawah. Kapten sekolah antara pelajar yang berjaya mendapat semua A dalam SPM. Kepada beliau warga sekolah sangat berasa bangga atas kejayaan ini. Walaupun sibuk dengan tanggungjawab yang diamanahkan beliau membuktikan boleh mencapai kejayaan akademik yang membanggakan. Syabas. Kepada para guru syabas juga dan selamat meneruskan khidmat cemerlang agar mendapat balasan baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

Sunday 6 January 2013

Assalamualaikum,
lama sudah tiada entry baru untuk blok ini. tahun 2012 telah seminggu berlalu seminggu juga tahun 2013 menjelma. setahun bertambah usia diharap begitu juga dengan kematangan dan kesabaran kita. buat kali pertamanya saya bertahan untuk tahun kedua di sebuah sekolah setelah masuk tahun keempat menjadi pengetua. Begitu cepat masa berlalu terasa sangat baru meninggalkan Kuala Lipis daerah pertama saya bertugas sebagai Pengetua. Harapan agar tahun ini akan lebih berjaya dan tiada cabaran pahit yang akan dialami. Terasa sangat letih dan penat dengan pelbagai perkara remeh temeh yang sepatutnya tiada lagi dalam dunia pendidikan alaf ini. Walaupun saya sedar tiada manusia yang sempurna namun sebagai muslim kita patut ada sikap ini. Tidak perlu marah-marah akan perkara-perkara kecil kerana kelemahan itu adalah sifat semua manusia...