Tuesday 13 March 2012

Ucapan Mesyuarat Agung PIBG 2012.


Yang berusaha pengerusi majlis,
Yang berhormat Datuk Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Bentong, Tn. Hj. Ahmad Zohdi b. Ishak, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Bentong mewakili Pegawai Pelajaran Daerah, Yang Dipertua PIBG Ustaz Ahmad Saifulzaman b. Abdul Rahim, Naib YDP saudara saya En. Ujang Sadikon, barisan AJK PIBG, barisan pendidik SERI, para ibu bapa, murid-murid dan hadirin hadirat sekelian.
Syukur kita ke hadrat Allah S.W. T dengan limpah dan rahmatnya dapat kita bersama-sama berada di dalam dewan yang indah ini untuk satu majlis ukwah ibu bapa, pendidik dan pelajar SMK Seri Bentong.
Saya bagi pihak seluruh warga sekolah Seri Bentong ingin mengalu-alukan kehadiran Datuk ke sekolah kami. Kesediaan Datuk hadir ke majlis kami amatlah dihargai dan disangjung tinggi. Ini adalah satu tanda keperihatinan datuk kepada sekolah ini dan masyarakat sekelilingnya. Terima kasih dan tahniah atas keperihatinan Datuk ini.
Sepanjang kewujudan sekolah ini kami tidak pernah terpinggir dari perhatian Datuk sri dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang lain. Walaupun Datuk Sri menghantar wakil pada tahun lepas namun sumbangan RM10,000 yang diberikan amat dihargai. Begitu juga sumbangan dari YB Dato’ D. Davendran dan dari Datuk Seri Diraja Menteri Besar sendiri juga kami telah terima. Atas bantuan dan sumbangan itu kami warga Seri Bentong merakamkan jutaan terima kasih.
YB Datuk Sri, Hadirin sekelian,
Sepanjang 2011 Seri Bentong juga menerima peruntukkan kerajaan menjejah hampir RM250 ribu. Ini termasuklah peruntukan berjumlah RM180 ribu untuk baik pulih sistem elektrik yang termasuk membaiki lampu jalan, lampu dewan ini, mengganti lampu dan kipas untuk blok A, B dan C. Sekolah juga menerima peruntukkan RM20,000 untuk menguruskan sistem kumbahan dan pada akhir tahun 2011 pula menerima peruntukkan untuk kerja-kerja membasmi anai-anai di asrama dan juga bangunan sekolah. Untuk itu kami amat berterima kasih kepada Datuk Sri dan kerajaan Barisan Nasional. Semoga peruntukkan seperti ini akan terus diturunkan kepada sekolah kami pada tahun ini.
Hadirin hadirat sekelian.
SMK Seri Bentong telah mencapai usia 15 tahun pada tahun ini. Kejayaan demi kejayaan telah dicatat dan usaha untuk meningkatkan kecemelangan telah dirancang secara berterusan. Pada tahun ini kita  mempunyai 604 orang pelajar di mana 147 di sekolah rendah, SISP dan bakinya di sekolah menengah. Dari jumlah itu 570 tinggal di asrama yang terdiri dari 2 blok asrama lelaki, 2 blok asrama aspuri menengah dan 2 blok asrama aspuri SISP. Selain dari satu blok asrama dan satu blok kelas yang mengalami kerosakan bumbung prasarana sekolah berada dalam keadaan yang memuaskan. Sekolah mempunyai 55 orang guru dan 20 orang kakitangan iaitu bilangan yang lengkap mengikut peruntukan guru dan kakitangan KPM.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Tahun 2011 merupakan tahun pencapaian terbaik sekolah dalam keputusan PMR. Selain berjaya mengekalkan rekod 100% lima tahun berturut-turut Gred Purata Sekolah juga mencapai keputusan terbaik iaitu 1.22. Pencapaian ini  meletakkan Seri Bentong dalam rangking ke 12 dalam negeri Pahang di mana rangking ini termasuk sekolah-sekolah Asrama Penuh dan sekolah-sekolah Sains juga. Dalam daerah Bentong kedudukannya masih kekal di tempat pertama. Pada tahun ini juga seramai 21 orang calon kita mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil. Sebahagian besar dari mereka telahpun mendapat tempat di MRSM dan SBP di seluruh negara. Kepada mereka tahniah dan terima kasih.
Bagi pencapaian UPSR 2011 pula, sekolah kita juga lulus 100% namun GPS nya sedikit merosot iaitu 1.25. Seramai 16 orang dari 42 orang calon telah memperoleh 5A dalam peperiksaan itu. Kita juga masih mengekalkan kedudukan rangking pertama di daerah kita. Maka, sama-samalah kita menantikan pula keputusan SPM yang bakal di umumkan tidak lama lagi.

Sekolah Seri Bentong juga telah mencapai pelbagai kejayaan dalam bidang kokurikulum. Setakat tahun 2012 ini kita telah berjaya menjadi naib johan dalam pertandingan hoki lelaki. Pertandingan-pertandingan lain bakal menyusul dan kita sedang membuat persediaan rapi dalam setiap penyertaan.
Datuk Sri, tuan-tuan dan puan-puan.
Walaupun kita telah mencapai kejayaan namun realitinya masih banyak ruang untuk kita menjadi lebih baik. Sebagai pengetua baru di sekolah ini saya berhasrat agar semua anak-anak tuan-tuan dan puan-puan yang masuk ke sekolah ini memperoleh semua A dalam setiap peperiksaan yang mereka ambil UPSR, PMR mahupun SPM. Hasrat ini kedengaran amat sukar namun tidak mustahil untuk dicapai. Saya juga berhasrat agar sekolah ini menjadi salah sebuah 5 terbaik di negeri Pahang ini. Dalam masa yang sama kami akan berusaha menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif bagi membentuk budaya menuntut ilmu yang tinggi dalam kalangan pelajar. Apabila anak-anak tuan-tuan dan puan-puan meninggalkan sekolah ini mereka bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi cemerlang juga dalam  akhlak dan kerohanian.
Oleh yang demikian beberapa penambaikkan telah dan akan dijalankan hasil perbincangan dengan guru-guru seri yang memang sentiasa bertungkus lumus memastikan kejayaan anak tuan-tuan. Mereka berkorban masa, tenaga bahkan wang ringgit untuk anak-anak kita ini. Penat lelah mereka ini tidak perlu dibalas dengan wang ringgit cukuplah sekadar senyuman yang ikhlas dan ucapan terima kasih. Lupakan lah perkara remeh temeh sebaliknya marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan prestasi sekolah dan pencapaian anak-anak kita. Insyallah kalau kita dapat bekerjasama dengan baik, saling bantu membantu dari segi tenaga, wang ringgit dan buah fikiran semua yang keruh dapat dijernihkan, yang rosak boleh dibaiki, yang kurang baik diperelok dan yang cemerlang akan menjadi gemilang. Usahlah kita saling salah menyalah mahupun mencari kesilapan sesiapa. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama dengan orang yang melakukan kebaikan.
Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan tahniah, terima kasih dan syabas kepada semua AJK PIBG yang telah banyak membantu sekolah tahun ini dan tahun-tahun sebelumnya. Penghargaan yang sama kepada jawatan kuasa kerja yang telah bertungkus lumus membuat persiapan untuk majlis ini. Syabas juga kepada tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada hari ini sebagai bukti sokongan anda semua kepada pihak sekolah. Kepada pelajar yang menerima hadiah kecemerlangan hari ini bonda berharap kecemerlangan ini akan berterusan. Sebagai pengakhir bicara, kepada Yang Berhormat Datuk Sri kami warga Seri Bentong sentiasa berdoa agar Datuk Sri dan keluarga dikurniakan kesihatan yang baik, agar terus menjadi pemimpin kami di Parlimen Bentong ini kerana ketokohan kepimpinan seperti Datuk Sri amat sukar untuk dicari. Kepimpinan dan keperihatinan Datuk Sri kami sanjung tinggi, budi yang diberi akan kekal abadi dalam sanubari kami. Datuk Sri, terima kasih daun keladi, kalau sudi hadirlah lagi ke sekolah kami.
Sesungguhnya yang baik dan sempurna itu milik Allah s.w.t dan kelemahan itu milik saya sendiri.
Assalamualakum warahmatullah.

1 comment:

  1. Dalam mesyuarat ini YB Menteri Kesihatan memberikan RM20,000 untuk membiayai program PIBG. Terima kasih Datuk Sri..

    ReplyDelete