Sunday 21 April 2013

Apakah kita Pemimpin yang baik

Ramai orang mahu jadi pemimpin samada diperingkat bawahan mahupun pemimpin peringkat atasan. Persoalanya adakah kita boleh memimpin. Banyak teori kepimpinan dikemukakan oleh pemikir-pemikir terdahulu mahupun masa sekarang. Ada mengatakan kepimpinan sesuatu yang diwarisi buktinya ramai anak-anak pemimpin menjadi pemimpin sebagai bapa mereka. Dato' Seri Najib mewarisi kepimpinan bapanya Tun Abdul Razak, Datuk Hishamuddin mewarisi kepimpinan Tun Hussein Onn dan ramai lagi tokoh seperti ini. Ada juga teori mengatakan kepimpinan dilahirkan melalui pendidikan atau persekitaran. Walau apa pun teori yang dikemukakan tidaklah begitu penting berbanding dengan keupayaan pemimpin itu sendiri.

Sebenarnya bukan mudah untuk memimpin. Ia memerlukan ilmu yang banyak, pengalaman, kematangan, kesabaran dan personaliti yang menarik. Ini kerana pemimpin perlu mempengaruhi orang untuk melakukan keinginannya. Pengurus mungkin boleh meminta orang melaksanakan kerja dengan punca kuasa yang ada namun untuk meminta orang bawahan melakukan tugas dengan baik dan bersemangat perlu ada kepimpinan. Menjadi pemimpin yang baik tidak boleh bergantung pada punca kuasa semata-mata tetapi perlukan karisma yang tersendiri.

Dua minggu yang lalu saya telah menerima 2 orang peserta kursus NPQEL (Kursus pra syarat menjadi pengetua yang dianjurkan oleh IAB) yang terdiri dari GPK Pentadbiran dari sekolah yang berhampiran. Secara jujur saya agak keberatan menerima mereka menjadi mentee kerana merasa tempoh selama 4 tahun menjadi pengetua terasa macam baru sangat untuk membimbing mereka berdua ini. Namun atas dasar ingin melihat mereka menjadi pemimpin yang baik dan ingin berkongsi pengetahuan saya reda. Tidak ada apa yang menarik dalam kepimpinan saya sekadar menjalankan tugas yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh. Tetapi saya amat tertarik dengan ungkapan yang salah seorang dari mereka berikan iaitu kepimpinan seseorang tidak boleh dinilai oleh orang itu sendiri namun terlihat oleh orang lain. Jadi bolehkah kita katakan yang kita tidak boleh mengaku menjadi pemimpin yang baik kecuali ada orang yang memberi pengiktirafan itu.

Dalam perbincangan dengan kedua mereka kami sependapat bahawa kepimpinan ini satu skil yang mungkin boleh dipelajari tetapi lebih banyak kepada anugerah yang diberi. Oleh yang demikian sebenarnya tidak semua orang boleh jadi pemimpin walaupun mereka mahu. Alasannya kepimpinan ini adalah satu seni yang agak sukar dipelari mahupun ditiru ataupun dibuat-buat. Memetik kata-kata Puan Hajah Zakiah Hj Awang mantan Pengetua Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong (Pengetua yang membawa sekolah itu menjadi Sekolah Kluster 2013- selepas beliau bersara) dalam sejarah perkhidmatannya sebagai pengetua beliau hanya menemui dua orang pegawai bawahannya yang mempunyai bakat kepimpinan (siapa...tanyalah beliau sendiri).

Konklusinya; Ramai orang mahu jadi pemimpin tetapi tidak ramai yang boleh meminpin. Kita tidak boleh mengaku menjadi pemimpin yang baik kecuali orang lain berkata demikian. Akhirnya, kepimpinan adalah satu seni yang boleh dipelajari namun perlu ada bakat semulajadi. Oleh yang demikian sempena PRU13 ini pilihlah pemimpin yang kita rasa baik bukan atas dasar mereka mahu jadi pemimpin kita dengan menjanjikan bulan dan bintang tetapi sebenarnya semata-mata angan-angan kosong sahaja. Lihatlah sejarah mereka semasa menjadi pemimpin dahulu apa yang telah mereka lakukan ketika itu. Ini sekadar pandangan peribadi saya sahaja.

No comments:

Post a Comment